Sorting by

×

Transformasikan Pantai Puteri persis Pantai Miami

Masa Membaca:57 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Ogos – Pantai Puteri bakal berubah wajah persis Miami Beach di Amerika Syarikat jika perancangannya berjaya direalisasikan sedikit masa lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, pelan ‘blueprint’ untuk perancangan tersebut kini telah ada dengan peruntukan sekitar RM12 juta oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mencantikkan kawasan tersebut.

“Jika Terengganu sudah ada, kita pun nak jadikan Pantai Puteri sama seperti itu. Dalam pelan yang dikemukan kepada saya memang gambaran itu sudah ada. Arkitek semua pun sudah ada.

“Pantai Puteri akan ada siar kaki, tempat berbasikal, kabin dan ada hiasan warna-warni. Memang cantik sebab saya sudah terima gambar daripada pelan tersebut.

“Cuma untuk merealisasikan perkara tersebut, kita perlu selesaikan dahulu masalah hakisan pantai yang berlaku sebelum perancangan ini boleh dimulakan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan menyediakan satu kawasan khas buat penjaja di sekitar pantai berkenaan yang lebih tersusun dan tidak mengganggu parkir kenderaan.

“Selain itu, saya juga akan berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memasang bonggol di sepanjang pantai supaya kereta dan motosikal tidak terlalu laju di kawasan pelancongan berkenaan,” katanya lagi.

Views:

642
Kongsi :
Previous post Kerjasama Malaysia-UAE banteras Covid-19
Next post Ops Gajah: Pemilik lori ingkar kena kompaun
Ubah saiz-+=