BN Johor yakin peluang besar menang PRN Johor
JOHOR BAHRU, 22 Jan – Barisan Nasional (BN) negeri khususnya UMNO hari ini menzahirkan keyakinan mempunyai peluang besar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pihaknya juga bersedia untuk meletakkan lebih ramai calon berbanding ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Beliau berkata jentera parti seluruh Johor juga bersedia dan turut menunjukkan semangat yang tinggi.
“Peluang UMNO (untuk menang PRN Johor) amat baik sekali, keyakinan kita tinggi dan kita berharap akan dapat bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRU-14 lalu,” kata beliau kepada pemberita di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.
Pada PRU ke-14, UMNO bertanding 35 kerusi, MCA (14 kerusi), Gerakan (tiga) manakala MIC (empat) tetapi BN hanya memenangi 19 kerusi menerusi UMNO dengan 17 kerusi manakala MIC dua kerusi.
Bagaimanapun, kedudukan berubah pada 12 Mei 2018 apabila tiga ADUN UMNO mengumumkan menyertai Bersatu iaitu ADUN Sedili Rasman Ithnain, ADUN Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Endau Alwiyah Talib.
Ketika ditanya mengenai perbincangan berhubung agihan kerusi antara parti komponen, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Selain itu, Hasni yang juga penyandang ADUN Benut berkata pintu kerjasama antara gabungan itu dengan parti lain (PAS dan Bersatu) masih belum tertutup.
“Sebarang kerjasama atau bentuk komposisi parti yang akan bertanding dalam PRN Johor adalah tertakluk kepada keputusan dibuat pucuk pimpinan parti. Negeri akan beri maklum balas berhubung keputusan itu termasuklah berhubung kerjasama antara parti komponen dalam gabungan BN sendiri,” katanya.
Hasni secara berseloroh juga berkata akan kembali bertanding dalam PRN Johor sekiranya dibenarkan presiden parti.
Terdahulu, beliau, yang juga Menteri Besar Johor, mengesahkan pembubaran DUN Johor hari ini dalam sidang media selepas menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di sini petang tadi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.