PRN: UMNO Johor diberi mandat buat keputusan – Ismail Sabri
KOTA BHARU, 22 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Badan Perhubungan UMNO Johor telah diberikan mandat untuk membuat keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan atau sebaliknya.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, bagaimanapun berkata sebarang keputusan mengenai PRN Johor perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Johor.
“Mengenai (PRN) Johor seperti yang kita putuskan dalam Majlis Tertinggi UMNO, kita serahkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk berbincang dari segi persediaan dan membuat keputusan.
“Jadi kita serahkan kepada UMNO Johor untuk menentukan sama ada mengadakan PRN (atau sebaliknya),” kata beliau.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Kelantan di sini hari ini.
Khabar angin mengenai PRN Johor akan diadakan bertiup kencang berikutan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian baru-baru ini, menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pada masa ini, DUN Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.