Sorting by

×

Penoreh getah merayu IPG dinaikkan

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat
BADRUN menghantar getah beku ke pusat belian komoditi itu di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

AYER LIMAU 13 Ogos – Penoreh dan pekebun kecil merayu Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengkaji semula keputusan tidak menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM4 sekilogram berbanding RM2.50 sedia ada.

Ini kerana harga RM2.50 disifatkan mereka sebagai terlalu rendah dan tidak berbaloi dengan tenaga yang dicurahkan untuk menghasilkan komoditi berkenaan, apatah lagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dengan harga getah beku semasa RM1.90 sekilogram dan IPG 60 sen diberikan kerajaan, penoreh dan pekebun kecil terpaksa terus bergelut dengan kesempitan hidup yang memaksa mereka terpaksa melakukan kerja lain untuk menambah pendapatan.

Penoreh, Mohd Ahad Mohd Saat, 66, berkata beliau sekadar mengambil upah menoreh di kebun getah seluas 1.2 hektar milik penduduk Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah dekat sini sejak beberapa tahun lalu.

“Selepas dibahagi dua hasil jualan antara saya dengan pemilik kebun, saya hanya mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan dan wang tuntutan IPG yang dibayar Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanya suku daripada jumlah itu.

“Selain itu, saya terpaksa menunggu dua bulan untuk mendapatkan tututan IPG dan saya tidak ada jalan lain, selain terpaksa mengambil upah membuat kerja kampung untuk menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui menjual getah beku di pusat belian komoditi berkenaan di kampung itu hari ini.

Badrun Kasiman, 65, berkata beliau merayu kementerian berkenaan mengkaji semula IPG RM2.50 kerana mendakwa ia amat rendah dan tidak mampu membantu penoreh dan pekebun kecil menarik nafas lega, apatah lagi dengar harga barangan yang tidak pernah turun sekarang.

“Saya tidak ada kebun getah sendiri dan terpaksa mengambil upah menoreh kebun seluas dua hektar milik orang lain dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan, bergantung kepada cuaca semasa.

“IPG harus dinaikkan, kalau boleh kepada RM4 kerana penoreh sudah hampir lima tahun tidak pernah menikmati kenaikan harga getah beku RM4 dan kami semakin dihimpit kemiskinan hingga terpaksa ikat perut,” katanya.

Semalam, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang menaikkan IPG kepada RM4 kerana tuntutan IPG mencecah RM100 juta setiap tahun.

Katanya, IPG sekarang adalah hadiah kerajaan kepada penoreh dan tahun lalu sahaja kerajaan menghabiskan RM132 juta untuk tuntutan berkenaan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, kerajaan sudah memperuntukkan RM100 juta bagi pembayaran IPG tahun ini bagi meringankan beban penoreh dan pekebun kecil menanggung kos sara hidup.

IPG diperkenalkan kerajaan sejak 2015 bagi membantu meringankan beban penoreh dan pekebun kecil menanggung kos sara hidup berikutan kejatuhan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Views:

364
Kongsi :
Previous post Firma Singapura ambil alih projek Hatten Land di Melaka
Next post Pulau Besar ditutup hingga 27 Ogos
Ubah saiz-+=