Sorting by

×

Lima laluan sekitar Brickfields dilencongkan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Lima jalan di sekitar Brickfields dilencongkan bermula 7 pagi ini bagi mengelak mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata lencongan melibatkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers, Jalan Rakyat dan Jalan Maarof.

Beliau berkata polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada mana-mana individu atau pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ANTARA peta laluan jalan yang dilencongkan. Foto Polis Brickfields

Amihizam berkata pengoperasian stesen membabitkan laluan Transit Aliran Massa (MRT), LRT, monorel dan Keretapi Tanah Melayu Berhad di sekitar ibu negara dihentikan sementara bermula 7 pagi ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur terutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan urusan masing-masing.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya mengumumkan enam jalan utama di sekitar Kuala Lumpur iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail turut dilencongkan mulai 7 pagi ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1612
Kongsi :
Previous post Menteri harap BAM, Zii Jia cari jalan penyelesaian
Next post COVID: 44.4 peratus individu dewasa terima dos penggalak setakat semalam
Ubah saiz-+=