‘Makcik lebih rela mati kat sini’
PENGKALAN BATU 12 Ogos – Seorang warga emas lebih rela tinggal seorang diri di sebuah bangsal usang yang dipenuhi longgokan sampah selama 11 tahun daripada berpindah ke rumah yang lebih selesa.
Zainab Puteh, 72 berkata, hidupnya lebih selesa dengan keadaan sekarang yang jauh daripada masyarakat, selain tidak gemar mendapatkan ihsan orang lain.
Katanya, adik-beradiknya serta orang ramai pernah memujuknya untuk berpindah, tetapi ajakan itu tidak diendahkan kerana mahu kekal tinggal di atas tanah pusaka miliknya sendiri.
“Ada orang memang nak tolong datang kemas, tapi makcik tak nak. Biarlah makcik seorang diri. Tak susahkan siapa-siapa pun. Mungkin orang pandang kita susah, tapi sebenarnya makcik tak susah.
“Makcik memang tak suka tinggal di rumah. Lemaslah…Dulu pernah duduk di Taman Merdeka, tapi makcik tak berapa suka sebab jiran-jiran ramai yang asyik duduk di luar dan mengata sesuatu. Makcik takut bila dah syak, jatuh fitnah pula.
“Makcik dah lama tinggal sini, buat apa nak takut duduk seorang diri? Makcik lebih rela mati kat sini,” katanya ketika ditemui di bangsal usang yang terletak di Jalan Cempaka, Pengkalan Rama Pantai, pagi tadi.
Tambah Zainab, dirinya lebih suka tinggal dan bercakap dengan haiwan peliharaan seperti kucing daripada bergaul dengan masyarakat setempat.
Ujarnya sehingga kini, dia telah memelihara sebanyak lapan ekor kucing di bangsal berkenaan, selain turut memberi makan kepada kucing-kucing jalanan sekitar kawasan itu.
“Makcik ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Bantuan itulah makcik gunakan untuk beli makanan sendiri dan makanan untuk kucing-kucing yang ada di sini.
“Selain itu, makcik juga ada pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan daripada duit sewa tanah di kawasan ini. Jadi, makcik tak perlukan apa-apa lagi. Biarlah makcik rasa hidup seperti orang susah sebegini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, kisah hidup Zainab mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan yang menerima perkhabaran tersebut melalui teman rapatnya.
Nor Azman yang melawat tempat tinggal berkenaan mengakui khuatir dengan nasib warga emas itu memandangkan sudah lama tinggal di dalam persekitaran yang tidak selesa selain dikhuatiri menjadi sarang haiwan berbisa dan tempat pembiakan nyamuk aedes.
Justeru, beliau menyatakan hasrat untuk menyediakan sebuah kabin 10×10 sebagai tempat tinggal baharu di tanah tersebut yang telah dipersetujui Zainab selagi tidak meninggalkan tanah pusaka terbabit.
“Saya dah kenal pasti kawasan untuk meletakkan kabin di tanah ini. Jadi, saya harap dengan adanya kabin yang lengkap dengan tandas itu, makcik Zainab dapat tempat lebih selesa untuk tidur dan solat di dalamnya,” katanya.