Sorting by

×

99 majikan degil didakwa

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER MOLEK 19 Jan- Seramai 99 majikan di negeri ini didakwa di mahkamah sepanjang tahun lalu kerana ingkar ketetapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Exco Perpaduan Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 90 majikan didakwa di mahkamah.

Katanya, kesalahan paling banyak dikesan dan didakwa adalah dibawah Akta 4 (Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969) membabitkan kesalahan gagal membayar caruman Perkeso dengan 69 majikan.

“Sementara itu 23 lagi majikan dikesan gagal membayar caruman Sistem Insurans Pekerja (SIP) dan didakwa dibawah Akta 800.

“Manakala 10 majikan lagi didakwa kerana gagal mematuhi saman jabatan dan bakinya didakwa selepas gagal mendaftar perusahaan serta pekerja mereka seperti yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada waris pencarum yang meninggal dunia akibat COVID-19 yang turut dihadiri Pengarah Perkeso negeri Abd Razak Omar, di Bukit Lintang, hari ini.

Terdahulu, Hee Sem dan Abd Razak menyampaikan Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat kepada suri rumah yang kematian suami akibat jangkitan COVID-19 ketika bertugas di Pontian, Johor tahun lalu.

Hee Sem berkata, sepanjang tahun lalu Perkeso Melaka mengeluarkan kompaun berjumlah RM8,500 terhadap lapan majikan didapati melanggar peraturan pertubuhan itu.

“Kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan lewat melapor kemalangan dibawah Peraturan 71(1) dan 71(2),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majikan perlu lebih bertanggungjawab dengan melaporkan sebarangan kemalangan di tempat kerja kepada Perkeso selain perlu mendaftarkan dan membuat caruman keatas pekerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post Prof Dr Haim Hilman dilantik Naib Canselor UUM
Next post Pemaju Taman Seri Aman Lagenda dipanggil
Ubah saiz-+=