Litar ‘Drag Race’ pertama di Zon Barat Semenanjung Malaysia siap Februari depan
MERLIMAU 17 Jan – Litar ‘Drag Race’ pertama di Zon Barat Semenanjung Malaysia dijangka dibina di negeri ini menjelang Februari depan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, perkara itu seiring dalam misinya menjadikan Merlimau sebagai kawasan hab permotoran di negeri ini.
Jelasnya, setakat ini pembangunan litar berstatus kekal kira-kira 800 meter di Jalan Kilang Berapi giat dibangunkan dan akan membawa pulangan hebat kepada belia di kawasan itu.
“Litar ‘Drag Race’ sedang rancak dibangunkan sekitar 30 hingga 40 peratus dan proses pembinaan merangkumi penurapan jalan tar, pembinaan pagar di sekeliling litar, tempat duduk penonton serta pelbagai lagi.
“Litar itu bercirikan berstatus kekal berbanding litar-litar yang dibangunkan di kawasan lain yang mana perlu menutup jalan sedia ada setiap kali acara perlumbaan berlangsung.
“Pembangunan itu telah menerima ‘lampu hijau’ dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan ia merekodkan sebagai litar kedua di Malaysia selepas ia dibina di Kampung Gong Badak, Kuala Terengganu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan hub permotoran di Merlimau akan terus diperkasakan sekali gus mampu membendung masalah sosial berlaku terutama penglibatan belia dalam aktiviti lumba haram.
Jelasnya, menerusi pembangunan itu, golongan belia turut didedahkan dengan latihan, aspek keselamatan serta pelbagainya.
“Jadi bagi saya, dari haram kita cuba halalkan kerana mereka semua mempunyai bakat dalam dunia permotoran ini dan kita akan salurkan bakat itu kepada cara yang betul.
“Kebanyakan belia yang menyertai acara ini mereka secara dasar telah mempunyai asas dalam permotoran termasuk dalam mengubah suai enjin jadi kita akan asah bakat mereka ke jalan yang betul,” katanya.
Pada masa sama, Akmal berkata, litar yang dibangunkan akan diberi keutamaan kepada penduduk Merlimau dan kawasan sekitarnya.
“Kita akan membuka kawasan ini setiap masa di mana untuk memberi peluang mereka mengasah bakat seperti kita sarankan pada hari biasa dijadikan sebagai kawasan latihan dan menjelang penghujung minggu kawasan itu akan diadakan acara perlumbaan.
“Dengan misi hub permotoran ini juga kita akan membuka kelab permotoran untuk belia agar pendedahan terus dapat diberikan dan mampu mengurangkan kadar perlumbaan haram terus berlaku,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.