Sorting by

×

K9 hidu pencuri kabel ETS

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

JASIN 17 Jan- Polis terpaksa menggunakan khidmat Unit Anjing pengesan (K9) untuk memburu dua lelaki cuba melarikan diri selepas dikesan mencuri kabel sistem telefon kecemasan (ETS) di KM174.9 arah Utara Lebuh Raya PLUS 9 Jan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, terdahulu dalam kejadian jam 1.47 pagi sepasukan Polis Peronda PLUS mengesan kehadiran dua suspek berpakaian gelap dalam keadaan mencurigakan yang cuba melarikan diri.

Menurutnya, bertindak atas maklumat pihak PLUS, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin serta Unit K9 dikejarkan ke lokasi.

“Lokasi persembunyian kedua-dua suspek berusia 37 dan 42 tahun itu berjaya dikesan oleh Unit K9 kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa gulung kabel dan peralatan memotong dianggarkan kerugian berjumlah RM5,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

BARANGAN yang dirampas susulan kes cubaan curi kabel ETS milik PLUS di lebuhraya PLUS pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Abdul Majid berkata, hasil semakan suspek pertama mempunyai 25 rekod jenayah membabitkan 10 rekod dadah dan tiga rekod POCA manakala suspek kedua pula mempunyai satu rekod jenayah serta dadah.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, kedua-dua suspek dipercayai menyasarkan kabel ETS milik PLUS sepanjang laluan antara Jasin hingga ke Tangkak, Johor.

“Hasil siasatan awal suspek disyaki terbabit dalam tujuh kes curi kabel iaitu enam di Johor dan satu lagi di Melaka.

“Tindakan suspek menyebabkan sebanyak 20 ETS sepanjang laluan berkenaan tidak boleh digunakan dan ini menyulitkan pengguna jika berlaku kecemasan,” ujarnya.

Kedua-dua suspek ditahan reman hingga Rabu ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1275
Kongsi :
Previous post Kerajaan sumbang RM10 juta kepada FAM bagi pembangunan bola sepak negara
Next post Bantuanbanjir.com permudah mangsa banjir dapatkan maklumat bantuan
Ubah saiz-+=