Melaka Rumahku bantu lima beranak diami rumah lebih selesa
LENDU 17 Jan – Lima sekeluarga yang sebelum ini hidup dalam ketakutan dalam sebuah rumah hampir roboh, bersyukur apabila diberikan penginapan baharu yang lebih selesa.
Rohaya Md Din, 40, dan keluarganya hanya mampu memanjatkan kesyukuran di atas keprihatinan kerajaan negeri selepas diberikan rumah secara percuma melalui program Melaka Rumahku.
“Rumah lama kami terlalu usang dan boleh mengancam keselamatan. Boleh cakap kalau ditolak dengan jari pun boleh roboh.
“Alhamdulillah, sekarang kami tidak bimbang lagi kalau angin kencang atau hujan lebat yang sebelum ini menyebabkan rumah lama banjir akibat bumbung bocor,” katanya.
Suri rumah yang menghidap penyakit jantung itu berkata, dia tidak mampu menjalankan kerja pembaikan rumah yang sudah terlalu uzur kerana suaminya, Mohd Affarizal Othman, 41, hanya bergantung rezeki kepada kerja kampung.
Dek kerana bimbang keselamatan dia, suami dan tiga anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun, dia memohon bantuan rumah daripada kerajaan negeri tahun lalu dan bersyukur diluluskan.
“Alhamdulillah, rumah baharu mempunyai tiga bilik, sebuah bilik air dan dapur yang lebih selesa berbanding rumah lama yang sudah terlalu daif,” katanya.
Terdahulu, dia sekeluarga menerima replika kunci rumah daripada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali di kediamannya di Kampung Air Hitam, Lendu.
Rumah berkenaan dibina melalui konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPM dengan kos RM40,000, selain Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memasang meter elektrik dan air secara percuma.
Sementara itu, suaminya, Mohd Affarizal berkata, dia tidak mampu membaik pulih rumah kerana kehilangan pekerjaan sebagai pembantu kantin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dia yang cacat mata kanan sejak lahir terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan RM200 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk memastikan bekalan bahan makanan tidak terputus.
“Sekarang saya hanya bergantung kepada kerja mengambil upah memotong rumput, membersihkan kebun dan seumpamanya dan dengan pendapatan sebanyak itu, saya hanya mampu membeli beras dan barang makan lain untuk keluarga.
“Sudah pasti saya tidak mampu membuat kerja pembaikan rumah, apatah lagi membina rumah dan dengan anugerah rumah secantik ini, kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.