Sorting by

×

Long Tiger akan dituduh 19 Jan ini

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

JOHOR BAHRU, 16 Jan – Lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang ditahan semula selepas melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, akan dituduh pada 19 Jan ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata Abdul Hamim Ab Hamid, 32, akan dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, selepas tamat menjalani reman.

“Ya, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Tangkak pada 19 Jan. Pertuduhan ini kerana melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, di sini hari ini.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah Long Tiger akan dituduh selepas menjalani reman bermula 5 Jan lepas dan berakhir pada 18 Jan ini, di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pada 15 Dis lepas, Abdul Hamim meloloskan diri menerusi pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan bermula pada pukul 11.55 pagi, namun dia berjaya ditahan semula di Kedah pada 28 Dis.

Semasa kejadian itu, Abdul Hamim menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Sementara itu, ketika diminta pandangan mengenai ramai pihak yang tampil membantu kes remaja curi tabung masjid di Kuang, Rawang pada 8 Jan lepas, beliau berkata pihak polis menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman terhadap remaja berusia 19 tahun itu.

“Buat masa ini tidak ada apa-apa komen, apa pun siasatan kita telah selesai dan remaja ini telah dituduh sebab mencuri wang tabung masjid. Kita tinggalkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dijangka menjalankan pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang terhadap remaja itu, esok.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1071
Kongsi :
Previous post Kes Terence Naidu: Polis siasat dakwaan minuman dicampur dadah
Next post Warga PDRM Johor perlu kekal integriti dan amanah untuk teruskan kecemerlangan
Ubah saiz-+=