Rumah Transit akan dibina setiap DUN- KM
LENDU 15 Jan- Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Rumah Transit di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata sebanyak dua unit rumah akan disediakan di setiap DUN bagi membantu mangsa yang ditimpa bencana atau keganasan rumah tangga.
Katanya, setakat ini sebanyak lima unit Rumah Transit di Tehel dan Pokok Mangga dan kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan membina lagi lima unit rumah dalam masa terdekat.
Beliau berkata,Rumah Transit berkenaan telah dilengkapi dengan perabot dan perkakas rumah dan kemasukan serta merta dilakukan.
“Kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan Rumah Transit di setiap DUN buat golongan yang ditimpa musibah ini tinggal sementara.
“Hal ini berikutan, sekiranya terdapat mangsa ditimpa musibah, dan mangsa tinggal jauh dari lokasi Rumah Transit yang sedia ada ini akan menyusahkan mereka lagi, jadi pembinaan dua unit Rumah Transit ini perlu diwujudkan di setiap 28 DUN dalam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis penyerahan Kunci Rumah kepada Rohaya Mat Din dalam Program Melaka Rumahku di Kampung Air Hitam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidom.
Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, penyerahan rumah itu merupakan program tanggungjawab sosial (CSR) LPM yang kedua pada tahun ini.
Ujarnya, permohonan yang diterima oleh LPM menerusi program Melaka Rumahku itu terlalu banyak dan akan ditapis kepada golongan yang benar-benar layak menerima sahaja.
“Yang mohon untuk membuat rumah ini banyak, kebanyakan pemohon tidak mempunyai pendapatan tetap tapi pihak lembaga perumahan akan menapis semua permohonan.
“Selain itu, pemohon juga perlu mempunyai tanah sendiri dan kos pembinaan akan ditanggung sepenuhnya pihak LPM, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.