Sorting by

×

Semakan Daftar Pemilih Tambahan dibuka enam bulan hingga 13 Julai

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PUTRAJAYA, 14 Jan – Pelaksanaan urusan semakan Daftar Pemilih Tambahan bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) dibuka selama enam bulan bermula hari ini hingga 13 Julai setelah ia diperaku dan diwartakan hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata DPT BLN12/2021 mengandungi nama bagi 5,718,760 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas hingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Ia turut mengandungi 25,220 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 pemilih bertukar status atau kategori pengundi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas hingga 31 Disember 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2021.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang C secara dalam talian melalui pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi DPT BLN12/2021 iaitu portal SPR menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hotline SPR di talian 03-88927018.

Beliau berkata mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Katanya, borang C dan borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri melalui pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2021.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN12/2021, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR menerusi talian 03-88927018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1902
Kongsi :
Previous post Penurunan ketara jenayah jalanan kemungkinan disebabkan PKP – Tengku Maimun
Next post KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022
Ubah saiz-+=