Dera anak teman lelaki, pengasuh mengaku tidak bersalah
AYER KEROH 14 Jan- Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan mendera anak teman lelakinya, awal Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Chan Wan Ting, 31 membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, Wan Ting didakwa mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu dengan menekap kepala mangsa di papan seterika yang masih panas hingga mengakibatkan kecederaan pada tangan dan muka.
Perbuatan itu dilakukan di rumah teman lelakinya di Jalan M-20, Taman Merdeka, Batu Berendam pada jam 10.15 pagi, 2 Ogos lalu.
Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencederakan kanak-kanak terbabit dengan menggunakan cili hingga mengakibatkan kecederaan di mulut dan kedua-dua pipinya di tepi Jalan M10 berhampiran sebuah tadika di Taman Merdeka antara jam 7 hingga 8 pagi pada pertengahan Mei tahun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Wan Ting didakwa mengikut seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda RM20,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Liyana Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony.
Hakim Nariman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.