Kolej Komuniti Jasin ambil inisiatif pulihara ekosistem penyu karah
PENGKALAN BALAK 14 Jan – Prihatin dengan nasib spesies penyu karah yang kian terancam, pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Jasin (KKJS) mengambil inisiatif memulihara habitat pemeliharaan haiwan itu di Padang Kemunting, di sini.
Pensyarah Utama Kolej Komuniti Jasin, Mohd Azuan Ali berkata menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, warga KKJS dapat memahami pentingnya menjaga ekosistem supaya habitat penyu dapat dinikmati generasi akan datang.
Katanya, aktiviti seumpama itu juga dapat memupuk nilai murni yang tinggi dalam kalangan peserta dan masyarakat tentang kesedaran memelihara habitat dan spesies penyu yang semakin terancam.
“Diharap program ini dapat meninggalkan impak yang positif terhadap peserta, komuniti setempat ataupun secara globalnya kepada negara. Semoga projek CSR seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Program anjuran Pejabat Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu disertai seramai 40 pelajar, 35 pensyarah kolej komuniti dan politeknik serta 10 masyarakat setempat.
Katanya, antara aktiviti diadakan termasuklah membersihkan kawasan pemeliharaan penyu karah supaya tempat pembiakan penyu itu terjamin daripada sebarang ancaman terutamanya pembuangan sampah sarap.
“Saya yakin usaha ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Kawasan Tanjung Bidara khusunya eko pelancongan kepada masyarakat luar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.