Kerajaan perlu perkenal undang-undang pengurusan plastik
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata Malaysia adalah antara destinasi utama bagi pengeksport sisa plastik dilihat menjadi perniagaan yang menguntungkan namun ia menimbulkan masalah serius terhadap alam sekitar serta hidupan disebabkan kekurangan peraturan dan pengawasan oleh pihak berkuasa.
“Hal ini berlaku kerana plastik yang tidak sesuai untuk dikitar semula mungkin dilupuskan melalui pembakaran, justeru ia melepaskan bahan kimia toksik ke dalam alam sekitar ataupun mungkin dibuang ke tapak pelupusan sampah.
“Dengan itu, ia berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, menurut kajian dilakukan CAP sejak 1998 ke atas plastik terpakai yang dikitar semula menjadi pelet mendapati bahawa terdapat bahan kimia dalam pelet tersebut boleh membahayakan kesihatan.
“CAP mendapatkan pelet plastik kitar semula daripada pengitar plastik yang mengeksport dan menjual pelet tersebut kepada pengeluar tempatan untuk dijadikan produk baharu.
“Kesemua pelet itu dianalisis dan terbahagi kepada tiga kumpulan yang mengandungi bahan kimia berbahaya iaitu penstabil UV benzotriazole, bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik CAP Hatijah Hashim berkata penstabil UV benzotriazole adalah sekumpulan penstabil UV ditambah kepada plastik, penyalut dan kosmetik yang boleh berkumpul dan berkekalan dalam alam sekitar seterusnya bahan kimia itu akan mengganggu sistem endokrin (sistem dalam badan yang bertanggungjawab menghasilkan hormon oleh kelenjar tertentu dan masuk ke dalam darah untuk mengawal atur aktiviti badan).
“Bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A juga boleh menjejaskan sistem endokrin, sistem imun dan pembiakan, malah ada antaranya didapati menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak,” katanya.
Justeru katanya, kerajaan sepatutnya tidak menggalakkan perniagaan mengitar semula plastik bertoksik kerana ia bukan sahaja memusnahkan alam sekitar malah turut menjejaskan kesihatan pekerja dan pengguna.
“Pengeluaran plastik perlu dikurangkan secara drastik dan perdagangan sisa plastik perlu diharamkan (dengan pelaksanaan undang-undang),” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.