UMNO mahu aspek pengurusan banjir diperbaiki
KUALA LUMPUR 12 Jan – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam ini memberi perhatian terhadap isu banjir yang berlaku dalam negara baru-baru ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara yang disentuh ialah mengenai aspek pengurusan banjir yang perlu diperbaiki.
Beliau berkata, UMNO turut berharap Sidang Dewan Rakyat Khas pada 20 Jan ini dapat mengumpulkan cadangan-cadangan bernas agar negara terhindar dari ditimpa bencana banjir besar pada masa akan datang.
“Banjir besar yang melanda negara pada Dis 2021 dan Jan 2022 merupakan sesuatu yang diluar jangkaan. Pelbagai bantuan banjir yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan.
“Namun, mesyuarat mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di Negeri Selangor.
“Sidang Dewan Rakyat khas pada 20 Januari 2022 juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan-cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir-banjir besar pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan MKT UMNO turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dan pimpinan parti itu di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.
Antaranya ialah kakitangan Ibu Pejabat UMNO, Biro Kebajikan UMNO, Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Bencana Banjir Barisan Nasional, Skuad Sayang, Skuad Sabil, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, UMNO Bahagian dan Cawangan terutamanya di kawasan-kawasan yang terlibat banjir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.