Bina baharu rumah rosak teruk akibat banjir – KM
ALOR GAJAH 11 Jan – Rumah mangsa yang mengalami kerosakan sepenuhnya akibat bencana banjir bakal menerima rumah baharu bernilai RM56,000, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata, bantuan itu diberikan kerajaan Pusat itu bagi membantu mangsa banjir yang benar-benar kehilangan kediaman mereka.
“Di Melaka setakat ini dalam data kita sebanyak tiga buah rumah baharu akan dibina di daerah Alor Gajah, jumlah ini akan bertambah selepas kita mengumpul lebih banyak data.
“Manakala sebanyak empat buah rumah yang terlibat dalam bencana banjir di negeri ini akan dibaiki dengan peruntukan minima RM5,000 dan maksimum RM15,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Pembelian Barang Keperluan Mangsa Banjir bernilai 2,500 di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata setakat ini kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1,08 juta melibatkan 434 Ketua Isi Rumah (KIR) di Melaka.
“Untuk pembayaran fasa satu di ketiga-tiga daerah iaitu di Alor Gajah seramai 249 penerima manakala Melaka Tengah 171 penerima dan Jasin seramai 14 penerima.
“Pembayaran ini akan dilaksanakan secara berfasa. Saya harap mangsa-mangsa banjir yang belum menerima bayaran ini dapat bersabar.
“Saya difahamkan semua pejabat daerah telah menerima borang-borang ini dan akan mengambil sedikit masa lagi sebelum bayaran dibuat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.