Murid sekolah rendah dibenar lakukan ujian saringan COVID-19 di rumah – Radzi Jidin

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Murid sekolah rendah akan dibenarkan melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 di rumah bermula minggu ini, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), para murid yang dipilih kemudiannya perlu mengemukakan hasil ujian saringan berkenaan kepada pihak sekolah.

“Kit ujian akan disediakan oleh pihak sekolah. Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan keluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara itu,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM sebelum ini, 10 peratus murid sekolah rendah dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan di sekolah mulai 1 Dis tahun lepas.

Pelaksanaan ujian kendiri itu hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pelaksanaan pendekatan baharu ini memerlukan ibu bapa berperanan memastikan ujian saringan COVID-19 dilaksana dengan teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM supaya sesi persekolahan dapat berlangsung dengan selamat.

“Jika ia tidak dilaksana mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara-saudari tetapi kawan-kawan serta guru mereka di sekolah,” katanya dalam video berdurasi lebih dua minit itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1623
Kongsi :
Previous post Sindiket tipu kerja tumpas, tujuh ditahan
Next post Bina baharu rumah rosak teruk akibat banjir – KM
Ubah saiz-+=