Pengunjung Melaka Sentral patuh SOP
PENGKALAN BATU 10 Ogos – Rata-rata masyarakat yang berkunjung ke kawasan umum di negeri ini mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam aspek mengekang penularan Covid-19.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) ke Melaka Sentral (MS) mendapati kesemua pengunjung yang datang ke lokasi umum itu mematuhi peraturan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan kawalan keselamatan yang begitu efisien.
Stesen bas itu yang dibahagikan dengan dua bahagian iaitu laluan domestik dan antara negeri itu telah mengehadkan segala akses pintu masuk ke dalam lokasi terbabit.
Menurut pengawal keselamatan bangunan terbabit, Md. Dom Mahadi, 62, berkata, hanya empat pintu utama sahaja dibenarkan bagi akses keluar masuk di Melaka Sentral dan ia dikawal rapi oleh kakitangan bangunan itu.
Jelasnya, setiap pintu masuk terbabit diletakkan peralatan keselamatan bagi mengimbas suhu dan merekod setiap trek kemasukan pengunjung dengan menggunakan buku log dan aplikasi MySejahtera.
“Alhamdulillah, segala keselamatan di kawasan ini diperketatkan melalui kerjasama pengawal keselamatan dan anggota polis di kawasan ini.
“Malah, jika ada pengunjung yang berdegil dengan perkara ini kami akan bertegas dan tidak akan membenarkan mereka memasuki kawasan ini terutama warga asing.
“Masih ada yang berdegil namun, kami mengambil tanggungjawab ini bagi memastikan perkara ini diatasi dan sehingga hari ini keadaan mampu dikawal hasil kerjasama semua pihak.
“Malah, dengan pemantauan polis juga beberapa pengunjung turut dikenakan saman akibat tidak mematuhi peraturan terbabit, sekali gus ini merupakan sebagai pengajaran kepada orang lain,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau yang senang dikenali sebagai Pak Dom telah berkhidmat di bangunan terbabit hampir lapan tahun lalu, berharap agar orang ramai memberi kerjasama dengan perkara terbabit.
Pak Dom merupakan antara pejuang barisan hadapan tidak didendang berkongsi pengalamannya dalam menghadapi waktu-waktu sukar ketika penularan wabak terbabit.
“Demi keselamatan orang ramai kita sanggup bertugas dalam keadaan norma baharu ini asalkan mereka mematuhi peraturan dari kerajaan demi kebaikan bersama.
“Apa yang kita mahu rantaian COVID-19 ini perlu diputuskan bagi mengelakkan lebih banyak kluster yang menjadi punca penularan ini berlaku,” katanya.