Sorting by

×

Dua rumah terima inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 11 Jan – Bagi mengurangkan beban dua keluarga membaiki rumah akibat banjir, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka tampil membaik pulih dengan kos masing-masing RM15,000.

Rumah itu, masing-masing di Kampung Pengkalan Pauh dan Kampung Telok Berembang, Lubok Cina di sini mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar pada 18 Disember lalu.

Pengarah ICU Melaka, Megat Azlani Megat Ramli berkata, ia adalah sebahagian daripada keseluruhan 24 rumah yang dikenal pasti akan dijalankan kerja pembaikan dengan kos sedemikian.

“Selain itu kita sudah mengenal pasti tiga rumah mangsa banjir yang akan dibina semula dengan setiap unit bernilai RM56,000 kerana rumah berkenaan sudah rosak teruk dan tidak berbaloi jika dibuat kerja pembaikan.

“Kita juga akan melaksanakan kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan kecil dengan kos RM5,000 tetapi setakat ini masih dalam peringkat mengenal pasti jumlah rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja pembaikan rumah Mazila Daud di Kampung Pengkalan Pauh dan Othman Ishak di Kampung Telok Berembang.

Megat Azlani berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia akibat banjir besar yang menyebabkan kerosakan teruk pada 18 Disember lalu.

MEGAT Azlani Megat Ramli. Foto Din Ahmad

Sementara itu, Mazila, 45, ketika menceritakan detik musibah itu berkata dalam kejadian jam 5 pagi, 18 Disember lalu, dia dan suami, Zainudin Chambate, 46, serta tiga anak berusia 11 hingga 18 tahun segera keluar dari rumah untuk ke tempat tinggi berikutan air naik hingga dua meter.

“Keseluruhan rumah ibu atau rumah asal yang diperbuat daripada papan musnah dibawa arus deras tetapi kami masih bernasib baik kerana dua bilik saya dan anak yang diperbuat daripada batu tidak musnah.

“Suami saya hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan dan saya sendiri hanya pembantu am rendah, jadi kami tidak mampu membina rumah baharu atau menjalankan kerja baik pulih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1243
Kongsi :
Previous post Permohonan pengambilan pekerja asing secara dalam talian tidak lama lagi
Next post Banjir: Jumlah mangsa di PPS terus menurun
Ubah saiz-+=