Sorting by

×

‘Kalau tiada penghargaan sekalipun, saya tetap ikhlas bantu’ – Abang Viva

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 10 Jan – “Apa yang saya lakukan ini ikhlas, kalau tiada penghargaan sekalipun, saya akan tetap menghulurkan bantuan membantu mereka yang memerlukan,” itu kata Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’.

Azwan, 29, berkata, penghargaan diberikan kerajaan negeri adalah penghormatan buat dirinya dan secara tidak langsung membuatkan dirinya lebih bersemangat dalam melakukan aktiviti sukarelawan membantu mangsa banjir yang terjejas.

Katanya, dirinya bukan sesiapa tetapi amat mengalu-alukan mereka yang berminat dan mempunyai kudrat untuk turut sama turun serta menghulurkan bantuan membantu mangsa banjir.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi memanggil dan menyampaikan sumbangan, saya amat hargainya.

“Saya anggap ujian mereka itu seperti ujian diri sendiri, apabila mangsa banjir berada dalam kesusahan kita juga terkesan dan merasai beban itu,” katanya.

Terdahulu, pemuda itu yang dikenali sebagai hero banjir itu menerima saguhati dan sumbangan daripada kerajaan negeri pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Ketua Menteri Melaka, di Seri Negeri, hari ini.

Turut menerima sumbangan dan penghargaan daripada pihak kerajaan negeri ialah balu kepada Pegawai Bomba, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat pada Oktober tahun lalu.

Menurut Azwan, selepas kisahnya menjadi tular kehidupan hariannya tidak lagi seperti sebelum ini dan terpaksa meminta pertolongan kakaknya.

“Memang banyak berubah tetapi terpaksa lalui juga dan buat masa ini saya minta kakak tolong untuk bantu uruskan masa untuk ketika ini.

“Buat masa ini saya dalam ‘mode standby’ untuk ke Johor, kalau katakan keadaan makin teruk saya akan ke sana bantu apa yang sepatutnya selain masih lagi setia bersama Viva,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

740
Kongsi :
Previous post 75 murid, pelajar tak dapat ke sekolah kerana banjir
Next post Ubah suai Honda Civic guna duit insurans kemalangan, pekerja kilang disaman
Ubah saiz-+=