Senarai sekolah tidak dapat dibuka akibat banjir dikemas kini setiap Rabu – Radzi

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KLANG, 10 Jan – Senarai sekolah yang masih belum dibuka susulan terkesan akibat banjir akan dikemas kini setiap Rabu, bagi membolehkan sekolah terlibat memulakan pengoperasian bagi minggu seterusnya jika sudah bersedia, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

“Setiap Rabu kita akan mengemas kini senarai tersebut, apabila sekolah itu keluar daripada senarai, maknanya pada Ahad atau Isnin (minggu seterusnya) boleh dibuka bergantung sama ada mereka berada dalam kumpulan A atau B.

“Namun pada masa sama, keadaan dan situasi banjir ini amat dinamik. Sesebuah sekolah itu boleh dibuka, tiba-tiba air naik dan itu secara automatik (sekolah ditutup)… dan tindakan awal akan diambil khususnya untuk maklumkan pada ibu bapa (berhubung penutupan sekolah),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Kapar hari ini sempena pengoperasian sekolah di Selangor bagi penggal ketiga, 2021/2022.

Dalam pada itu, beliau berkata empat juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi penggal ketiga, 2021/2022 melibatkan 1.2 juta pelajar daripada kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan semalam manakala 2.8 juta pelajar membabitkan kumpulan B, hari ini.

Radzi berkata bagi Selangor, seramai 264,201 pelajar sekolah menengah manakala 446,816 murid sekolah rendah termasuk prasekolah memulakan persekolahan hari ini.

Susulan lawatannya di SK Meru yang merupakan antara sekolah terjejas banjir baru-baru ini, Radzi berkata beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD untuk melihat mana-mana fasiliti itu yang terkesan untuk memastikan perabot dan peralatan mencukupi.

“Kalau ada perabot tidak mencukupi, kita akan bawa perabot-perabot berlebihan daripada sekolah lain, atau dari negeri lain,” katanya.

Mengenai sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) baharu yang didakwa meletakkan pilihan pertukaran tempat terhad, Radzi berkata pihaknya akan sentiasa menambah baik sistem tersebut untuk membolehkan ia berada di tahap optimum di samping lebih memudahkan mereka terlibat.

“Kita akan sentiasa tambah baik sistem tersebut, sebagaimana sistem baharu yang mana kita akan terima pandangan dan akan kaji untuk melihat pendekatan yang boleh digunakan untuk pembaikan sistem tersebut.

“Kita ambil kira pandangan bila kata (guru) diberi pilihan tiga negeri (bagi pertukaran melibatkan negeri) maka mereka terpaksa pilih tiga negeri sedangkan mereka hanya ingin pindah satu negeri. Begitu juga melibatkan perpindahan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata bagi pertukaran antara negeri, walaupun hanya dinyatakan satu PPD bagi setiap negeri, sistem akan melihat PPD mana terdekat dengan PPD dipilih oleh pemohon.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post Kutipan hasil negeri meningkat, capai sasaran 100 peratus
Next post Pengurangan cukai taksiran 10 peratus bantu PBT Melaka – Shadan
Ubah saiz-+=