Kertas siasatan kereta api tidak berhenti di Kuala Gris siap dua minggu – KTMB

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA KRAI, 10 Jan – Siasatan terperinci berhubung kejadian tren Shuttle Timuran No 51 tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, di Dabong dekat sini awal pagi semalam yang mengakibatkan kira-kira 100 pelajar sekolah terkandas untuk ke sekolah, dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Taha berkata panel siasatan KTMB akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk daripada aspek teknikal, operasi dan corak perjalanan tren berkenaan.

“Jangkaan siasatan biasanya akan mengambil tempoh dua minggu sahaja kerana panel siasatan akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai insiden terbabit.

“Apabila penilaian panel siasatan terhadap kes tersebut selesai, ia akan diserahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kakitangan yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata empat kakitangan KTMB terlibat terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket telah digantung tugas buat sementara waktu sehingga selesai siasatan kes.

“Kita juga akan memanggil beberapa lagi kakitangan sebagai saksi untuk melengkapkan kes siasatan. Pihak KTMB menganggap insiden ini sepatutnya tidak berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan apabila tren yang menjadi pengangkutan utama mereka untuk ke sekolah tidak berhenti di stesen terbabit.

Jarak perjalanan menaiki kereta api dari Hentian Gris ke stesen Hentian Dabong mengambil masa kira-kira 15 minit.

Tinjauan Bernama di Hentian Kuala Gris pada pukul 6.30 pagi hari ini, mendapati rata-rata pelajar yang terkandas semalam, masih setia menggunakan perkhidmatan kereta api tersebut untuk ulang-alik dari sekolah.

Pelajar Tingkatan Lima, Nurul Fatin Alia Azman berkata kejadian semalam adalah pertama kali berlaku sepanjang beliau menggunakan perkhidmatan kereta api itu.

“Sudah lama saya menggunakan kereta api ini, iaitu sejak berusia 13 tahun lagi untuk ulang-alik dari sekolah dan saya akan tetap menggunakan pengangkutan ini kerana ia sangat selesa dan menjimatkan masa,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga, Nur Basyirah Darwisya Razali pula berharap insiden terbabit tidak akan berulang lagi kerana rata-rata pelajar dari Kampung Kuala Gris ini menggunakan perkhidmatan tersebut sebagai pengangkutan utama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1049
Kongsi :
Previous post 91 peratus pencapaian PSMJ 2035
Next post Kehadiran 80 peratus ke muzium meningkat, Melaka catat 1.3 juta pelancong tahun 2021
Ubah saiz-+=