Sorting by

×

Thaipusam: Pembekal kelapa, pengusaha Kavadi akur beberapa upacara tidak dibenarkan

Masa Membaca:2 Minit, 45 Saat

GEORGE TOWN, 9 Jan – Pembekal buah kelapa dan pengusaha kavadi akur dengan ketetapan Kementerian Perpaduan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memutuskan untuk tidak membenarkan beberapa upacara dilaksanakan termasuk memecah kelapa ketika sambutan Thaipusam pada 18 Jan ini.

Pembekal kelapa Joez Coconut, Joel Jeyachandran, 37, berkata pihaknya tidak memesan kelapa untuk Thaipusam kali ini kerana sudah mengetahui bahawa tiada upacara memecah kelapa diadakan berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN.

“Pihak kami tidak memesan kelapa untuk sambutan tahun ini seperti tahun sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19. Jadi, kita hanya menumpukan tempahan kelapa untuk jualan harian seperti santan, kelapa parut untuk diedarkan ke pasar awam di sekitar negeri ini dan lain-lain kegunaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di premisnya dekat Jalan Dato’ Keramat di sini, semalam.

Beliau menambah sebelum pandemik, tempahan buah kelapa yang diterimanya boleh mencecah sehingga 100,000 biji namun, setelah dua tahun tiada acara memecah kelapa berikutan wabak itu, pihaknya tidak dapat menjana sebarang pendapatan khusus bagi perayaan tersebut.

“Tahun lepas kami sudah rugi RM100,000 sebab saat-saat akhir tiada sambutan Thaipusam, tapi tahun ini kami bersedia dengan tidak membuat tempahan kelapa meskipun ada pelanggan yang tanya untuk beli kelapa sebab nak bayar nazar. Hal ini bagi mengelakkan kerugian berulang kembali,” katanya.

Walaupun sebelum ini sambutan Thaipusam diraikan dengan pelbagai kawalan SOP serta tiada tempahan kelapa dibuat, Joel mendakwa bahawa harga kelapa telah mengalami kenaikan dan berharap agar pihak berkuasa menjalankan pemantauan bagi mengelakkan harga kelapa menjadi tidak stabil di pasaran.

“Kalau sebelum ini sebiji kelapa berharga RM1.70, sekarang sudah naik RM1.85. Ini adalah harga dari ladang, dan kita terpaksa ikut. Sebab apa naik (harga) kita tidak pasti mungkin ada kaitan dengan kos pengeluaran atau baja dan sebagainya.

“Harap pihak berkuasa dapat pantau harga kelapa sebab kalau harga naik, semua barang berkaitan kelapa seperti santan, kuih-muih, makanan semua akan naik,” katanya.

Sementara itu, seorang pembuat kavadi selama lebih 50 tahun, R. Karunagaran, 60-an berkata sambutan Thaipusam kali ini disifatkannya sebagai suram memandangkan tiada upacara perarakan kavadi dilakukan yang sudah menjadi kelaziman bagi setiap penganut Hindu yang ingin membayar nazar.

“Arahan MKN dan kerajaan kena ikut. Tidak mengapalah, sebab kesihatan dan keselamatan orang ramai lagi penting. Harap tahun depan boleh sambut seperti dulu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Kata bapa kepada dua orang anak itu, meskipun perarakan kavadi tidak dibenarkan, beliau dan beberapa rakan turut terlibat dalam kerja-kerja membuat ‘kolam’ setinggi hampir 5 meter yang akan dipamerkan di pintu gerbang Kuil Arulmigu Bala Thandayuthapani dekat Jalan Kebun Bunga, di sini sempena Thaipusam minggu depan.

“Saya akan lakukan sebarang kerja perhiasan mahupun dekorasi melibatkan Thaipusam jika masih diperlukan,” katanya yang merupakan bekas pekerja Telekom.

Pada Jumaat, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) P. Ramasamy berkata hanya upacara ‘paal kudam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’.

Di samping itu, turut tidak mendapat kebenaran pada sambutan Thaipusam tahun ini ialah upacara membayar nazar dengan mencukur rambut di pekarangan kuil, upacara memecah kelapa, gerai jualan dan pengedaran makanan percuma (thaneer panthal).

Katanya, keputusan itu dicapai setelah pihaknya mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique Khamis lepas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

829
Kongsi :
Previous post Lelaki dipenjara lima bulan lindungi Long Tiger
Next post Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat – Takiyuddin
Ubah saiz-+=