Sorting by

×

Strategi kembalikan nostalgia Ramadan raih lebih 500 tempahan di Hotel Ames

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 9 Jan – Sekadar mengembalikan nostalgia berbuka puasa dalam bulan Ramadan, Hotel Ames tidak menyangka ilham menyediakan bufet Ramadan mendapat sambutan menggalakkan.

Masih berkonsepkan Selera Serantau sebagaimana tema bufet Ramadan tahun lalu, cetusan idea itu berjaya meraih lebih 500 tempahan dalam tempoh dua hari bermula kelmarin.

ANTARA pengunjung yang menempah Selera Serantau di Hotel Ames

Penolong Pengurus Eksekutif Ames Hotel, Nurashiken Zainal berkata, idea itu tercetus apabila menerima tempahan daripada sekumpulan pengunjung yang mahu menempah slot makan malam di The Munch, Hotel Ames semalam.

Katanya, berikutan itu pihaknya mencadangkan supaya menganjurkan acara makan malam secara bufet sekali gus dapat menarik perhatian pengunjung lain untuk menikmati hidangan makan malam bersama rakan ataupun keluarga di lokasi sama.

“Pengunjung di seluruh negara termasuk Melaka ada yang sudah lama tidak menikmati ‘dine in’ secara bufet, jadi kenapa tidak kita menyediakan konsep berkenaan dalam masa dua hari.

“Alhamdulillah, dalam tempoh itu Hotel Ames berjaya mendapatkan tempahan lebih 150 orang untuk hari pertama (Jumaat) dan kira-kira 260 orang pada hari kedua (Sabtu),” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, di sini.

MOHAMAD Sabri menyediakan juadah sup tulang utara

Sementara itu, Eksekutif Sous Chef Mohamad Sabri Mohamad Mahtar berkata, seramai 15 kakitangan bertungkus-lumus menyiapkan juadah berkonsepkan Selera Serantau selain menghias pepamer makanan dengan dekorasi suasana Hari Raya .

“Dengan tempahan berharga RM80 bagi setiap seorang, pengunjung boleh menikmati 260 juadah bermula daripada hidangan pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut.

“Konsep kali ini sama seperti bufet Ramadan tahun lalu iaitu menyediakan hidangan tradisional Melayu dan kali ini kita menyediakan sup tulang utara sebagai tarikan utama selain Laksa Melaka serta makanan Timur Tengah di ‘Arabic Corner’,” katanya.

HIDANGAN pencuci mulut pada Selera Serantau di Hotel Ames

Dalam pada itu, tinjauan Melaka Hari Ini turut mendapati pengunjung ‘sporting’ mengenakan pakaian tradisional bagi memeriahkan suasana umpama bulan Ramadan dan Hari Raya walaupun umat Islam bakal menyambutnya dalam beberapa bulan lagi.

Selain itu, pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan gamelan dan lagu tradisional Melayu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1450
Kongsi :
Previous post FAMA jamin barangan keperluan termasuk ayam dijual pada harga berpatutan
Next post Lelaki dipenjara lima bulan lindungi Long Tiger
Ubah saiz-+=