Rakyat Malaysia di Kazakhstan selamat – Wisma Putra
Kesemua 79 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di Nur Sultan berada dalam keadaan selamat, katanya dalam satu kenyataan. Mereka termasuk diplomat dan tanggungan mereka di Kedutaan, serta di pejabat MATRADE dan Tourism Malaysia di Almaty.
Kedutaan menasihati mereka supaya mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan diri, mengelakkan kawasan tunjuk perasaan, dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Kazakhstan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Nur Sultan, Kazakhstan di Tel : +7 (7172) 79 06 90, +77011010233 (selepas waktu pejabat), atau e-mel : [email protected]
Tunjuk perasaan tercetus di bandar Zhanaozen di Mangystau, Kazakhstan, pada 2 Jan berhubung kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG). Bantahan itu kemudian merebak ke kawasan lain sebelum ke seluruh negara.
Susulan pergolakan itu, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev mengumumkan keadaan darurat di ibu kota komersial Almaty dan wilayah Mangystau yang kaya dengan minyak pada 4 Jan.
Agensi Anadolu melaporkan setakat ini, 26 penunjuk perasaan terbunuh dan 18 yang lain cedera dalam demonstrasi antikerajaan itu.
Sekurang-kurangnya 18 pegawai keselamatan turut kehilangan nyawa dalam keganasan itu.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan menyatakan lebih 3,000 orang ditahan dalam kejadian itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.