Melaka akan rapatkan saf solat jemaah di masjid apabila keadaan pulih – KM
DURIAN TUNGGAL 8 Jan – Melaka belum membenarkan saf solat berjemaah di masjid dirapatkan susulan penularan varian Omicron yang membimbangkan kini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kewujudan varian baharu itu ditambah dengan beberapa kes baharu dalam negeri ini antara faktor perkara itu (rapatkan saf) belum boleh dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincang bersama Mufti Kerajaan Negeri, dan jika keadaan beransur pulih, kebenaran merapatkan saf akan diberikan secara berperingkat.
“Melaka tunggu dululah, dengan kewujudan varian Omicron ini menyebabkan kita tak dapat merapatkan saf seperti Perlis.
“Kalau dulu jarak satu meter antara sejadah dengan sejadah, sekarang kita ukur jarak saf antara hidung jemaah dengan jemaah lain satu meter, sebab yang menyebarkan penyakit menerusi hidung dan mulut. Jadi rapatlah sedikit saf itu berbanding dahulu.
“Kita buat berperingkat, perkara ini saya sudah bincang dengan mufti. Apapun hal ini bergantung kepada kapasiti dan keluasan masjid, jika di masjid itu betul-betul ramai orang, kita rapat-rapatkan saf tapi kena patuh prosedur standard operasi (SOP) dan bergantung pada jawatankuasa masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Melaka Rumahku di Bukit Tambun, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom.
Terdahulu, media arus perdana melaporkan Perlis menjadi negeri pertama membenarkan jemaah di masjid-masjid seluruh negeri itu merapatkan saf ketika solat berjemaah berkuat kuasa hari ini (8 Jan 2021).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.