Sorting by

×

150,405 pelajar Melaka kembali ke sekolah, 600 jalani PdPR

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 8 Jan – Seramai 150,405 pelajar di negeri ini akan kembali mengikuti sesi persekolahan secara fizikal pada Isnin ini, kata Exco Pendidikan Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 226 sekolah rendah dan 74 sekolah menengah.

Bagaimanapun katanya, terdapat 15 buah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di negeri ini masih ditutup.

“Sehingga kini jumlah sekolah yang akan berjalan seperti biasa sebanyak 226 dari 238 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dibuka melibatkan seramai 85,186 pelajar.

“Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pula, 74 dari 77 buah sekolah berjalan seperti biasa melibatkan seramai 65,219 pelajar

“Manakala sebanyak 15 dari 19 sekolah yang dijadikan PPS akibat banjir di negeri ini tidak akan dibuka lagi kerana tidak bersedia untuk operasi persekolahan.

“Penutupan sekolah itu membabitkan seramai 600 pelajar yang mana kesemua mereka akan mengikuti kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sekolah-sekolah ini hanya akan dibuka semula selepas ia bersedia untuk beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks JAPERUN DUN Paya Rumput di sini hari ini.

RAIS

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput memaklumkan, seramai 95 pelajar yang terlibat banjir dan masih ditempatkan di PPS dikecualikan dari sesi persekolahan, Isnin ini.

Ia jelasnya membabitkan pelajar dari daerah Jasin dan Alor Gajah.

“Terdapat dua pelajar masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah.

“Manakala di Jasin, 21 pelajar masih berada di PPS SK Parit Penghulu, PPS SK Seri Mendapat (19 pelajar) dan PPS SMK Sungai Rambai (53 pelajar),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post Warga Rohingya jangan bersikap keras kepala – Hamzah
Next post Malaysia hampiri 100 peratus populasi dewasa divaksin
Ubah saiz-+=