Sorting by

×

Zoo Melaka perintis pembiakan Harimau Malaya

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 7 Jan – Zoo Melaka dipilih menjadi zoo perintis menerusi Program Pembiakan Khas atau dikenali sebagai ‘ex-situ’ dalam usaha menyelamatkan populasi Harimau Malaya yang terancam.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bilangan Harimau Malaya di hutan pada masa kini amat membimbangkan apabila populasinya dianggarkan kurang daripada 200 ekor.

Beliau berkata, menerusi program ‘ex-situ’, populasi Harimau Malaya dijangka dapat ditingkatkan sekali gus mengelakkan haiwan itu pupus.

“Kita memang ada perancangan bersama Zoo Melaka untuk melakukan pembiakan Harimau Malaya dan Zoo Melaka juga antara yang dicadangkan untuk ‘ex-situ’ ini yang mana dijangka dimulakan pada tahun ini.

“Sekarang kita fokuskan kepada Harimau Malaya kerana di dalam hutan populasinya kurang 200 ekor manakala di zoo pula hanya terdapat lebih 60 ekor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPHTJ dan Perhilitan yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman, hari ini.

KETUA Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Hotel Ames Melaka, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Abdul Kadir, sekiranya usaha dan program ini tidak dilaksanakan kemungkinan Harimau Malaya akan pupus dalam tempoh kira-kira 10 tahun akan datang.

“Kalau kita tidak buat sesuatu yang drastik atau ‘extraordinary’ kemungkinan dalam masa antara lima atau 10 tahun kita tiada Harimau Malaya di dalam hutan yang tinggalnya hanya di zoo sahaja.

“Melalui program ini kita akan lakukan pembiakan bila anak sudah sesuai dalam tempoh dua atau tiga tahun kemudiannya kita akan lepaskan ke dalam hutan,” katanya.

Menurut beliau, antara faktor yang dikesan menyebabkan populasi haiwan itu terancam adalah pemasangan jerat oleh pemburu serta habitat Harimau Malaya mula mengecil.

YANG Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Hotel Ames Melaka, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Shadan berkata, MoU yang dijalankan itu adalah usaha untuk menjalinkan hubungan dua hala membabitkan aspek konservasi dan perlindungan hidupan liar supaya tidak pupus khususnya dalam membantu pembiakan baka serta bidang penyelidikan.

“Seperti saya pernah kata dahulu Zoo Melaka bukan untuk kita kaut keuntungan tetapi untuk dijadikan tempat konservasi dan pendidikan yang mana haiwan boleh dijaga dnegan sempurna dan dijadikan rujukan kepad anak-anak.

“Sekiranya tiada tempat konservasi seperti ini anak-anak atau cucu tidak dapat melihat Harimau Malaya dan haiwan lain yang hampir pupus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Harga ayam, telur dijangka naik bulan depan
Next post Banjir: 275 peladang, penternak dan nelayan di Melaka rugi RM2.83 juta
Ubah saiz-+=