Sorting by

×

Khairy nafi tangkap layar vaksinasi tular

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menyatakan yang beliau telahpun menerima dua suntikan vaksinasi serta suntikan dos penggalak dan menafikan status vaksinasi COVID-19 miliknya, adalah seperti yang telah ditularkan.

Khairy dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini berkata beliau telahpun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut.

“Pengambilan dos pertama itu turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan saya juga telah menunjukkan paparan MySejahtera selepas menerima vaksin tersebut. Sesiapa belum menonton siaran langsung tersebut, boleh tonton di pautan https://youtu.be/EtyaZ-BaPb8,” katanya.

Khairy berkata, suntikan dos kedua telah diterima pada 8 April dan mendapat suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September, sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72.

Sehubungan itu, beliau menafikan maklumat butiran peribadi dan status vaksinasi COVID-19 miliknya yang dipaparkan di dalam tangkap layar laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/ yang telah ditularkan sejak semalam.

“Saya minta orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara,” katanya.

Khairy berkata, laman sesawang tersebut diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.

“Walau bagaimanapun, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada Oktober 2021, laman sesawang tersebut tidak lagi aktif atau dikemas kini,” katanya.

Sejak semalam telah tular tangkap layar palsu mengenai butiran peribadi dan status vaksinasi COVID-19 milik Khairy yang menyatakan status janji temu sebagai ‘SEDANG DIPROSES’, sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1071
Kongsi :
Previous post Peguam pemerhati SUHAKAM dibenar hadir perbicaraan kes Siti Bainun
Next post Tiga masjid warisan terjejas banjir akan dibaik pulih segera – PERZIM
Ubah saiz-+=