Bernama, RTM perlu wujud ekosistem baharu dalam penyampaian maklumat
KUALA LUMPUR, 6 Jan – Agensi berita kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu mewujudkan ekosistem baharu dalam penyampaian maklumat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa berkata kedua-dua agensi itu perlu bersaing dengan platform media yang lain, selain kekal sebagai sumber yang dipercayai, diyakini dan berkesan kepada orang awam.
“Agensi Bernama dan RTM, kita jangan bertindak sebagai satu jabatan kerajaan. Perlu berada di tengah-tengah medan dan menerima realiti kita tetap perlu bersaing dengan platfrom media yang lain seperti media sosial, portal dan syarikat media swasta.
“Anggap itu sebagai persaingan. Kita kena jadi lebih baik daripada mereka. Perlu lihat kepada ekosistem baharu bagaimana kita berfungsi dan perlu kekal sebagai agensi berita yang diyakini, dipercayai dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Angkasapuri hari ini.
Oleh itu, beliau berharap perkara itu dapat dizahirkan menerusi pelantikan Khairdzir Md Yunus sebagai Ketua Pengarang Bernama dan Datuk Che Roslan Che Daud sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia yang baharu.
Dalam ucapan amanatnya, Annuar mengucapkan tahniah atas pelantikan berkenaan serta pelantikan pegawai-pegawai kanan baharu di jabatan serta agensi KKMM berkuat kuasa, Januari ini.
Menurutnya bagi tahun ini, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap KKMM serta agensi di bawahnya untuk menghasilkan prestasi kementerian yang lebih cemerlang memandangkan kementerian memiliki keupayaan dan kapasiti yang mencukupi.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.