Bapa dipenjara tiga tahun dera anak sehingga lebam seluruh badan
KOTA BHARU, 4 Jan – Seorang bapa hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mendera anak perempuannya berusia lapan tahun dengan memukul menggunakan sebatang kabel sehingga lebam di seluruh badan.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berumur 44 itu selepas dia mengaku melakukan perbuatan berkenaan di rumahnya di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh pada 1 pagi, 28 Dis lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan memandangkan dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya itu.
Hakim memerintahkan hukuman pemenjaraan itu dijalankan bermula dari tarikh tangkap pada 29 Dis lepas.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang juga seorang penganggur memukul anak bongsunya setelah telefon bimbit milik tertuduh mengalami masalah teknikal.
Mangsa bersama adik-beradiknya kemudian melarikan diri dari rumah ketika tertuduh sedang tidur untuk mendapatkan bantuan daripada kakak mereka yang belajar di sebuah kolej di sini.
Kakak mangsa yang melihat kecederaan dialaminya adiknya itu tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada 5.20 petang, 29 Dis di rumahnya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.