Tiga beradik terjejas banjir, bot fiber jadi penyelamat
SEGAMAT, 4 Jan – Pengalaman banjir pada 2011 menjadi iktibar dan pencetus buat keluarga Zainab Abd Majid untuk membeli sebuah bot fiber sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Ternyata persediaan dilakukan sangat membantu wanita berusia 65 tahun yang tinggal di Kampung Kuala Paya dekat sini, apabila banjir melanda sejak Ahad lepas hingga memaksa dia dan keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Kuala Paya, semalam.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata bot fiber yang dibeli oleh anak lelakinya, Padli Ramy, 40, dua tahun lepas bukan sahaja sebagai persediaan banjir, tapi digunakan untuk aktiviti memancing.
“Bot itu anak beli dua tahun lepas dengan harga RM600. Apabila naik air, tidak banyak dapat diselamatkan kecuali peti sejuk, mesin basuh dan televisyen.
“Dengan bot ini juga dapat membantu jiran-jiran berpindah ke PPS selepas air banjir mencecah paras lutut dan sekarang telah sampai ke paras bumbung rumah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Sekolah Agama Kuala Paya baru-baru ini.
Zainab yang tinggal di kampung berkenaan sejak lahir mengakui sedih apabila mengenangkan banyak barangan dan peralatan dalam rumah yang rosak akibat banjir namun anak-anak sering mengingatkannya agar redha dengan apa yang berlaku.
“Makcik sedih tapi anak-anak ingatkan, Insya-Allah, ada rezeki lain, boleh ganti barang-barang,” katanya sambil menambah kali terkahir merasai banjir seteruk ini adalah pada 2011.
Turut terjejas banjir ialah keluarga dua adiknya, Zaharah, 64, dan Zanariah, 61.
Zaharah yang tinggal bersama suami, tiga anak, seorang menantu serta tiga cucu juga terpaksa berpindah dan lebih menyedihkan seorang daripada cucunya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat sebaik tiba di PPS Sekolah Agama Kuala Paya pada Ahad.
“Rumah saya yang terletak bersebelahan rumah kakak (Zainab) memang berada betul-betul atas tebing Sungai Muar. Jadi, apabila air sungai semakin naik, memang rumah kami yang paling awal kena,” katanya.
Sementara itu, rumah Zanariah tidak terjejas teruk kerana terletak sedikit tinggi, tetapi turut diarahkan berpindah selepas jalan utama ke kampung berkenaan iaitu Jalan Kuala Paya Balai Badang ditutup untuk semua kenderaan.
Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,016 mangsa daripada 1,093 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.