LKIM buka pasar bergerak di lokasi terlibat banjir
Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata inisiatif itu diambil sebagai satu alternatif untuk membantu meringankan beban mangsa terkesan banjir, selain menerusi pemberian bakul makanan secara percuma.
“Setakat ini, kami mempunyai lapan pasar bergerak yang akan dibuka di 160 lokasi berlainan bermula 9 pagi hingga 6 petang. Inisiatif ini bukan hanya membantu pengguna malah golongan nelayan turut mendapat manfaat terutama yang terjejas banjir,” katanya.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata demikian pada sidang media selepas Program Ziarah Prihatin Pasca Banjir ke LKIM Pahang di Wisma LKIM Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya Yusuff Othman.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata setakat ini, 277 nelayan di Selangor, Pahang dan Melaka menjadi mangsa banjir dengan anggaran kerugian RM2 juta meliputi kemusnahan harta benda dan peralatan menangkap ikan.
“Kami akan membantu mereka menerusi bantuan tunai sebanyak RM500 hingga RM1,000 setiap orang manakala melalui tabung bencana mereka layak menerima sehingga RM10,000 untuk memulakan penghidupan baharu,” katanya.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata nelayan terlibat juga boleh menyertai Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang memperuntukkan RM80 juta untuk bantuan meliputi hasil perikanan, ternakan akuakultur, industri makanan dan asas tani serta agropelancongan.
Selain itu, beliau berkata 63 kakitangan LKIM turut terkesan banjir dan bantuan segera termasuk bantuan tunai diberikan kepada mereka. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.