Sorting by

×

Banjir: Melaka antara lima negeri selesai pembayaran bantuan wang ihsan – PM

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Perak mencapai 100 peratus pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah yang terkesan banjir, manakala Negeri Sembilan 82.7 peratus, Pahang (65.5 peratus) dan Selangor (47.6 peratus).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata bayaran BWI itu dijangka selesai diagihkan pada Rabu ini (5 Jan), dan ia tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua.

Beliau berkata sehingga semalam (2 Jan), BWI telah selesai diagihkan kepada 28,258 atau 61.2 peratus daripada 46,162 ketua isi rumah, manakala 38 waris mangsa daripada 51 kematian akibat bencana banjir telah menerima BWI Pengurusan Kematian.

“Bagi memudahkan urusan agihan BWI agar lebih cepat dan efektif, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara real time bermula 27 Dis 2021,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan mereka yang menerima bantuan kerajaan menerusi pembayaran Electronic Fund Transfer (EFT) supaya berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keuntungan mudah dengan menjalankan aktiviti scamming.

Perdana Menteri berkata hari ini beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 (MTL 2021/2022) dan menerima taklimat status tindakan daripada enam kluster yang telah ditubuhkan bagi mengurus inisiatif pasca banjir bencana monsun timur laut.

Antara yang hadir di mesyuarat itu ialah Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara serta Ketua Pengarah agensi-agensi berkaitan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan sehingga semalam, kerja-kerja pembersihan bagi Kuala Lumpur dan Melaka telah mencapai 100 peratus manakala Negeri Sembilan (95 peratus), Selangor (82 peratus) dan Pahang (77 peratus), dan dianggarkan 53,800 tan sisa banjir telah diurus menggunakan 2,730 jentera.

Beliau berkata dana RM50 juta telah diperuntukkan kepada 32 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan.

“Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu melibatkan 32 PBT menerima peruntukan sebanyak RM50 juta,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Kementerian Kerja Raya melaporkan terdapat 895 lokasi bencana dikesan sepanjang MTL 2021/2022 yang melibatkan lokasi banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan runtuh atau rosak.

Menurutnya inisiatif pemulihan melibatkan kos sebanyak RM967.2 juta.

Beliau berkata 802 lokasi telah selesai aktiviti pembersihan manakala pembaikan kekal dijangka akan dilaksanakan bermula bulan ini dan selesai Jun depan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

880
Kongsi :
Previous post Banjir: Kerajaan cadang tambah siren dilengkapi amaran suara
Next post Banjir: Sungai Kesang yang jernih kehijauan kini bertukar ‘teh tarik’
Ubah saiz-+=