Sorting by

×

Ayam, telur, sayur di Melaka turun harga

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 3 Jan – Lapan jenis barangan mentah termasuk ayam, telur dan sayuran di Melaka mula menunjukkan trend penurunan di Melaka, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, penurunan harga itu adalah disebabkan beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

“Ketika ini Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sedang dilaksanakan melibatkan lapan jenis barangan basah seperti ayam, telur dan beberapa jenis sayuran yang dikenalpasti merupakan barangan asas keperluan rakyat.

“Sebagai contoh harga ayam tertinggi ketika ini dijual pada harga RM9.10 sekilogram berbanding sebelum ini yang mencecah RM9.90 sekilogram.

“Pasaraya besar juga menawarkan harga lebih rendah iaitu antara RM5.99 hingga RM8.99 sekilogram. Ini menunjukkan komitmen dan usaha Kerajaan dalam memastikan yang terbaik untuk semua rakyat Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara berlebihan, pihaknya akan menggerakkan pasukan penguatkuasa menerusi Ops CAKNA yang memfokuskan kepada lima kategori premis.

Jelasnya, antara premis perniagaan yang terlibat ialah Kedai barangan elektrik, kedai pakaian, kedai perabot, kedai alat ganti kenderaan dan bengkel kenderaan bermotor.

“Kerajaan sentiasa memandang serius terhadap kenaikan harga barangan keperluan rakyat khususnya selepas beberapa negeri telah dilanda banjir dan memberi impak yang besar kepada rakyat yang terlibat.

“KPDNHEP Melaka mengingatkan kepada semua para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan, terutama ketika musim banjir ini bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini.

“Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post Banjir: Melaka tunggu keputusan KPM mengenai pembukaan semula sekolah
Next post Banjir: Bina ban dan ‘flap gate’ atasi banjir – Exco
Ubah saiz-+=