
Banjir: Laluan Lubok China-Rembau masih dinaiki air
AYER LIMAU 3 Jan – Meskipun tiada hujan hari ini, Jalan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok Cina, di sini yang bersempadan dengan Kampung Nerambai, Rembau Negeri Sembilan, masih dinaiki air setinggi kira-kira satu meter.
Laluan berkenaan tidak mampu dilalui kenderaan ringan sejak pagi semalam berikutan air dari Sungai Rembau melimpah.
Meskipun tiada hujan lebat, laluan itu masih dinaiki air dan arus deras, yang mana ia hanya boleh dilalui kenderaan berat dan membahayakan kenderaan ringan.
Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Jaafar Atan, 60, berkata Sungai Rembau melimpah mulai awal pagi kelmarin dan menyebabkan banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina.
“Laluan itu dinaiki air mulai jam 7 pagi semalam dan surut sedikit pada petang semalam tetapi pagi ini naik semula,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Dia berkata, tebing Sungai Berembang yang runtuh akibat banjir besar pada 18 Dis lalu menyebabkan arus deras Sungai Rembau membanjiri Kampung Telok Berembang dan menenggelamkan perahu nelayan di Pangkalan Nelayan Telok Berembang dan Kampung Ramuan Cina Kecil.
Sementara itu, pengguna jalan raya, Idris Mahad, 39, berkata perjalanannya dari Klebang untuk ke tempat kerja di Seremban terhenti di laluan Lubok Cina-Kampung Nerambai.
“Saya ada dengar air sudah naik di laluan ini tetapi tidak menyangka setinggi kira-kira satu meter dan saya tidak berani untuk meredah air dengan menunggang motosikal,” katanya.
Dia berkata, pengalaman meredah banjir di laluan yang sama tiga tahun lalu mengajarnya supaya tidak mengharung air yangtinggi.
Katanya, ketika itu enjin motosikalnya tiba-tiba terhenti akibat ekzos dimasuki air dan dia terpaksa menolak kenderaannya hingga melepasi banjir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.