Banjir: Masyarakat perlu ada ilmu pertahanan awam – APM Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 29 Dis – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka menyeru anggota komuniti dan masyarakat di negeri ini agar didedahkan dengan ilmu pertahanan awam.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, ilmu itu sangat penting terutama apabila berdepan musibah seperti bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk melatih lebih ramai anggota komuniti di negeri ini mengenai ilmu pertahanan awam bermula tahun depan.

“Kita sebenarnya ada produk perkhidmatan ilmu pertahanan awam melibatkan komuniti yang akan kita laksanakan tahun depan secara berperingkat.

“Kita akan memulakan program itu di peringkat Parlimen dan seterusnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana ia akan melibatkan kepimpinan di pelbagai peringkat.

“Kita mahu komuniti di luar sana melibatkan diri dalam ilmu pengurusan bencana supaya kita dapat menjadi satu pasukan yang teratur, tersusun dan sistematik ketika berlakunya bencana khusus membabitkan keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Dialog 1.30 bersama Angkatan Pertahanan Awam yang disiarkan secara langsung menerusi Melaka FM, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, APM Melaka akan sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang masih berlaku sekarang sehingga awal tahun depan.

Selain melakukan kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, pada masa sama, katanya APM Melaka turut menjalankan kerja-kerja pasca banjir seperti membersihkan rumah mangsa-mangsa yang terkesan akibat musibah itu.

“Kita telah menjalankan beberapa aktiviti pembersihan di beberapa rumah di daerah Alor Gajah dan Jasin yang mana selain bergotong-royong membersihkan halaman rumah dan mengalihkan perabot, kita juga melaksanakan kerja-kerja sanitasi di rumah yang terkesan.

“Kita akan teruskan program murni seperti ini dan selepas ini kita akan terus melihat apa jua keperluan untuk membantu rakyat yang terjejas,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1563
Kongsi :
Previous post Lebih 20 penjawatan ditawarkan pada Hari Kerjaya Oncar.My
Next post Paras air Sungai Kesang tinggi sukarkan bomba pam keluar air ‘banjir termenung’
Ubah saiz-+=