Lebih 20 penjawatan ditawarkan pada Hari Kerjaya Oncar.My

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 29 Dis- Peluang pekerjaan yang ditawarkan syarikat jual beli kereta terpakai Oncar.My dilihat tepat pada masanya dalam membantu mereka yang kehilangan pekerjaan khususnya golongan belia.

Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, sasaran syarikat itu untuk mempunyai kira-kira 150 pekerja sehingga hujung tahun ini akan membuka ruang untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Beliau berkata, penjawatan yang dibuka ini sekaligus dapat memberi peluang kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 untuk mendapatkan semula sumber pendapatan.

“Oncar.My menerusi hari kerjayanya hari ini menawarkan lebih 20 penjawatan untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan dan ini adalah peluang terbaik bagi golongan belia terutamanya untuk mencuba nasib.

“Kami MGBM bekerjasama dengan syarikat ini dalam membantu menguar-uarkan program hari ini bagi memastikan mereka yang mencari pekerjaan dapat maklumat dan boleh menghadirkan diri bagi mencuba nasib,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Hari Kerjaya Oncar.My, di Semabok, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Kanan Pemasaran Oncar.My, Mohd Al-Ridza Alias berkata sehingga kini pihaknya mempunyai hampir 70 pekerja bagi empat cawangan syarikat itu termasuk di ibu pejabat dan dalam perancangan untuk menambah 10 lagi cawangan pada tahun hadapan.

“Untuk tahun hadapan kita rancang untuk memperluaskan cawangan ke Penang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

“Perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan disebabkan kita mempunyai permintaan tinggi untuk jualan kereta terpakai.

“Malah untuk tahun ini juga kita memperuntukkan RM1.8 juta sepanjang Disember khas untuk Business Development untuk membeli kereta terpakai selain turut menyasarkan akan mempunyai kira-kira 150 pekerja sehingga hujung tahun 2021 ini” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post Bajet 2022 ubah persepsi e-sukan, pergiat cungkil bakat – MEA
Next post Banjir: Masyarakat perlu ada ilmu pertahanan awam – APM Melaka
Ubah saiz-+=