Hospital medan di HPP, ICU Medan di HKB ditutup
GEORGE TOWN, 29 Dis – Operasi di kesemua 10 buah hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara yang dibuka bagi menampung merawat pesakit COVID-19 ditutup sepenuhnya hari ini berikutan jumlah pesakit semakin berkurangan.
Hospital medan ATM terbabit ditutup secara berperingkat dengan yang terakhir membabitkan Hospital Medan ATM di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan Hospital Kepala Batas(HKB) di sini.
Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata kedua-dua hospital medan dan ICU medan ATM itu ditutup selepas angka kes COVID-19 menurun dengan ketara hasil kejayaan dan keberkesanan langkah mitigasi serta program vaksinasi dalam kalangan rakyat hampir 80 peratus menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos.
“Objektif penubuhan hospital medan ATM adalah bagi membantu pihak hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merawat pesakit COVID-19 yang mana penggunaan katil telah melebihi kapasiti 80 peratus ketika itu.
“Sepanjang tempoh pengoperasian ICU medan ATM di HKB iaitu bermula 28 Mei lepas, sebanyak 421 pesakit dirawat di 24 buah katil ICU di situ dengan 381 pesakit sembuh manakala kematian membabitkan 40 orang. Tiga pegawai dan 29 anggota ATM bertugas sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Simbolik Penutupan Hospital Medan ATM Pulau Pinang, di HPP di sini hari ini.
Muhammad Huzaimi berkata bagi pengoperasian di HPP, sejumlah 499 pesakit menerima rawatan di situ sejak ia beroperasi bermula 24 Sept lepas dengan 449 orang sembuh manakala 50 lagi pesakit meninggal dunia.
Katanya, hospital medan ATM itu menempatkan lapan buah katil ICU dan 92 buah katil biasa dilengkapi kemudahan oksigen membabitkan dua pegawai serta 15 anggota ATM bertugas di situ.
“ICU medan HKB merawat pesakit COVID-19 tahap empat dan lima manakala di HPP tiga serta empat, ATM umumnya sentiasa komited dalam membantu negara menangani serta memutuskan penularan rantaian pandemik COVID-19, ” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun kesemua operasi hospital medan ATM ditamatkan namun pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk membuka kembali operasi hospital berkenaan sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian terutama terdapat peningkatan kes COVID-19 varian Omicron.
“Setakat ini ATM tidak menerima sebarang arahan untuk membuka kembali operasi hospital medan, kami sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menjalankan semula operasi hospital itu jika diperlukan,” katanya.
ICU medan dibina menggunakan konsep hibrid iaitu empat kontena ATM digunakan untuk menempatkan 12 katil dan 15 katil lagi ditempatkan di empat buah khemah yang didirikan di kawasan parkir dalam HKB.
Manakala hospital medan ATM di HPP menempatkan sebanyak 100 katil bagi pesakit COVID-19 membabitkan 23 khemah siap dibina di kawasan seluas 2,300 meter persegi di tapak parkir hospital itu.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.