Pasca banjir: ‘Korek’ simpanan sendiri mula semula perniagaan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER LIMAU 28 Dis – Peniaga di pekan Lubok China, di sini yang terjejas akibat banjir besar pada 18 Disember lalu sudah memulakan perniagaan walaupun belum menerima bantuan kewangan.

Peniaga ikan dan sayur, Norhayati Marika, 54, berkata dia sudah memulakan perniagaan sejak kelmarin dengan menggunakan modal sendiri selepas mengalami kerugian akibat banjir pada 18 Disember lalu.

“Saya terpaksa mengorek baki modal yang masih ada untuk memulakan semula perniagaan selepas tidak dapat berniaga sejak 18 Disember lalu.

“Bagaimanapun, saya masih belum mampu menghantar peti ais untuk menjalani pembaikan selepas tenggelam dalam banjir,” katanya ketika ditemui di kedainya di pekan itu hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, 18 Disember lalu, dua peti ais Norhayati dinaiki air setinggi 1.5 meter manakala pelbagai barangan dalam kedai turut rosak.

Peniaga kedai makan, Kamarudin Ahmad, 52, dan isteri, Junidah Abdul Rahman, 51, memulakan perniagaan hari ini selepas tiga hari membersihkan kedai daripada lumpur.

Kamarudin berkata, dia terpaksa mendapatkan cawan dan pinggan mangkuk baharu untuk memulakan semula perniagaan selepas barangan lama rosak akibat tenggelam dalam banjir.

“Alhamdulillah, dengan modal yang masih ada, dapatlah kami memulakan semula perniagaan dan kami berharap kerajaan menghulurkan bantuan kepada saya dan mangsa banjir yang lain,” katanya.

Dalam kejadian itu, selain peti ais yang dihanyutkan arus deras, Kamarudin turut kehilangan dapur dan peralatan perniagaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1028
Kongsi :
Previous post Hospital medan di HPP, ICU Medan di HKB ditutup
Next post Long Tiger, tiga lelaki direman empat hari
Ubah saiz-+=