Ramalan awal banjir: Pahang, Johor bermula 1 Jan, Kelantan dan Terengganu 31 Dis – PRABN
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Dis manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Jan.
PRABN di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu berikutan amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.
Menurut pemakluman yang disiarkan di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, daerah di Pahang yang diramal banjir adalah Maran, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitar, Kuantan (Sungai Lembing) serta Rompin manakala di Johor, Mersing serta kawasan sekitarnya.
Di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan kawasan sekitar; Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar.
Selain itu, banjir juga diramal di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta kawasan sekitar daerah-daerah berkenaan.
“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.
Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.