Banjir: 28 keluarga dari dua daerah Melaka terima bantuan wang ihsan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 29 Dis – Seramai 28 keluarga dari Daerah Melaka Tengah dan Jasin menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan Monsun Timur Laut (MTL) malam tadi.

Pemberian sumbangan telah dilakukan di Dewan Japerun Pengkalan Batu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, Jasin.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad berkata pemberian Bantuan Wang Ihsan MTL itu bernilai RM1,000 itu disampaikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas.

“Seramai 20 ketua isi rumah dalam Daerah Melaka Tengah dan lapan dari Daerah Jasin telah menerima Bantuan Wang Ihsan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) susulan banjir baru-baru ini.

“Sumbangan ini merupakan inisiatif meringankan beban rakyat yang terjejas ekoran banjir disebabkan Monsun Timur Laut.

“Mangsa dalam Daerah Alor Gajah di sekitar kawasan Lubok China antara yang terjejas paling teruk di negeri ini akan menerima bantuan wang ihsan MTL pada 29 Dis (hari ini) dan akan diserahkan oleh Ketua Menteri sendiri,” katanya ketika ditemui di Dewan Japerun Pengkalan Batu, malam tadi.

KAMEL (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Hadir sama menyerahkan sumbangan bantuan wang ihsan tersebut Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin.

Manakala bagi penyerahan di Daerah Jasin, turut hadir ADUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan ADUN Serkam merangkap Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Zaidi Attan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

807
Kongsi :
Previous post 12 wanita antara 139 dicekup dalam Op Tokan Jalanan
Next post Hubungan lebih baik dengan pemain, pendekatan lebih berfokus di bawah struktur baharu – Rexy
Ubah saiz-+=