Pasca banjir – tangkapan udang galah meningkat
AYER LIMAU 27 Dis – Pasca banjir besar di Lubok China, di sini menyebabkan nelayan sungai menikmati hasil tangkapan udang galah yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Ini kerana banjir besar yang melanda 18 Dis lalu dipercayai menyebabkan kelodak Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Sungai Linggi menjadi lebih pekat yang menyebabkan udang galah keluar dari tempat persembunyian di dasar sungai.
Nelayan sungai, Yazid Hamdan, 51, berkata beliau memperoleh empat kilogram (kg) udang galah ketika turun menjala udang galah di sungai semalam.
“Alhamdulillah, hari ini pula saya mendapat enam kg udang galah hasil daripada kerja menjala sejak jam 6 hingga 10 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, dekat sini hari ini.
Dia berkata, dalam kejadian banjir mulai jam 5 pagi, 18 Disember lalu, kira-kira 20 perahu gentian kaca di pangkalan itu tenggelam bersama-sama enjin motor sangkut masing-masing.
“Allah tarik sumber rezeki kami ketika itu tetapi sekarang alhamdulillah, Allah beri semula rezeki yang lebih kepada kami,” katanya.
Nelayan di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Azan Ramli, 30, berkata banjir dipercayai menyebabkan kadar kemasinan air payau di Sungai Rembau menurun dan mendorong lebih banyak udang galah keluar dari tempat pesembunyian dan bermain di muka sungai.
“Alhamdulillah, selalunya kami hanya mendapat antara satu hingga dua kg udang galah setiap kali turun ke sungai tetapi sejak selepas banjir besar, hasil meningkat.
“Dengan hasil jualan udang galah RM70 sekilogram, kami menikmati pendapatan yang lebih berbanding sebelum ini,” katanya.
Dia berkata, kebanyakan nelayan terpaksa menanggung sendiri kos pembaikan perahu dan enjin dan hasil jualan yang meningkat dijangka mampu membiayai perbelanjaan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.