Sorting by

×

DUN Melaka : Empat ADUN positif COVID-19, tiga kontak rapat

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 27 Dis – Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 terpaksa dilakukan satu hari susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) positif COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata empat ADUN berkenaan dikesan positif semalam selepas melakukan ujian calitan RT-PCR Jumaat lalu.

Katanya, berikutan itu kerajaan negeri bermesyuarat dan memohon supaya sidang DUN diadakan satu hari bagi membentangkan Bajet Melaka 2022.

“Semalam, keputusan PCR yang dilakukan pada Jumaat lalu mendapati empat ADUN positif COVID-19 manakala tiga lagi mempunyai kontak rapat kepada tiga berkenaan.

“Jadi, keseluruhannya tujuh ADUN dikesan positif serta kontak rapat,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet Melaka 2022 di Dewan Tun Mutakhir.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada sesi sidang media selepas membentangkan perbahasan Bajet 2022 sempena Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Berikutan itu, pada sidang berkenaan, beliau mengemukakan usul supaya sidang DUN diadakan satu hari dan dipanjangkan sehingga petang.

“Sebab itu kita mula mengangkat usul Bajet 2022 pada hari ini, dan sidang DUN akan dibuat sehari sahaja.

“Sepatutnya, kita tidak boleh melaksanakan sidang DUN dalam tempoh yang terlalu lama, namun saya mohon KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) membenarkan sidang berkenaan supaya Bajet 2022 dibahaskan hari ini.

“Saya juga berharap ia akan selesai pada petang ini,” katanya.

Difahamkan, dua daripada empat ADUN yang positif itu adalah Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman serta Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis

Persidangan itu sebelum ini dijadualkan berlangsung selama empat hari namun pada saat terakhir ia dimaklumkan supaya sidang berkenaan diadakan satu hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post Bajet 2022 – Melaka umum bantuan khas setengah bulan gaji untuk penjawat awam
Next post Bajet 2022 – Melaka tubuh MELDIC, rancang dan pantau program digitalisasi
Ubah saiz-+=