Tiada isu harga tiket Zoo Melaka mahal, pengunjung tetap puas hati
AYER KEROH 26 Dis – Ikon destinasi pelancongan negeri, Zoo Melaka menerima seramai 7,000 hingga 8,000 pengunjung sehari pada hari Sabtu dan Ahad biarpun terdapat dakwaan menyatakan harga tiket masuk ke zoo mahal.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, bilangan pengunjung itu jauh lebih tinggi berbanding hari biasa yang mencatat sehingga 4,000 orang sehari.
Menurutnya, tidak seharusnya timbul isu mengaitkan kadar tiket yang ketika ini pada harga RM38 dianggap mahal memandangkan kunjungan orang ramai ke zoo terus meningkat dalam tempoh tiga bulan ini sejak Oktober lalu.
“Saya tidak rasa rasa harga tiket Zoo Melaka mahal kerana setakat hari ini, saya menerima 90 peratus komen pujian daripada pengunjung yang datang ke Melaka mengenai Zoo Melaka.
“Belum ada komen negatif termasuk mendakwa tiket Zoo Melaka mahal tetapi kami tetap anggap positif dan akan tambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) baru-baru ini.
Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 dan adalah zoo kedua terbesar di negara ini, menempatkan kira0kira 650 haiwan darpiada 150 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.
Selain itu, menurut Shadan, harga tiket Zoo Melaka masih munasabah dan tidak terlalu mahal berbanding tempat lain malah mampu menarik kunjungan orang ramai sehingga 4,000 orang sehari pada hari biasa dan bilangan itu bertambah dua kali sehingga 8,000 orang pada cuti hujung minggu.
Katanya, sejak MPHTJ mengambil alih pengurusan Zoo Melaka pada tahun 2020, harga tiket masuk ke zoo masih sama dan tidak pernah dinaikkan biarkan kos operasi zoo meningkat sehingga kini mencecah RM1 juta.
“Pun begitu, sejak bulan Oktober lalu, bilangan pengunjung ke zoo kian bertambah malah meningkat dua kali ganda pada setiap cuti hujung minggu.
“Kita jangkakan bilangan ini akan bertambah melalui beberapa siri menganjurkan pertunjukkan khas api sempena program promosi hujung tahun di Zoo Melaka bermula 24 Disember lalu, kemudiannya 25 dan 31 Disember serta yang terakhir 1 Januari,” katanya.
Kata beliau, biarpun menyediakan pertunjukkan khas tersebut, tiada caj tambahan atau kenaikan tiket berlainan dikenakan kepada pengunjung malah melalui harga tiket RM38, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai akses kemudahan terutama mengunjungi Dinasour Encounter.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.