Menyamar jadi pesakit siasat dakwaan tular babit klinik kesihatan di Melaka
PENGKALAN BATU 24 Dis – EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini turun padang menyiasat dakwaan tular mengaitkan sebuah klinik kesihatan enggan menerima pesakit yang datang dari luar kawasan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa menyuruh seorang pegawai menyamar sebagai pesakit yang beralamat jauh dari klinik berkenaan untuk mengetahui kebenaran dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pegawai yang menyamar itu telah diterima dengan baik oleh klinik kesihatan itu bermula dari urusan pendaftaran hinggalah berjumpa doktor.
“Saya ingin menekankan bahawa di Melaka khususnya, ‘No Wrong Door’ polisi akan diperhebatkan oleh kerajaan negeri.
“Ia bermakna jika anda ingin mendapatkan rawatan, anda boleh pergi ke mana sahaja klinik kesihatan yang berdekatan dengan anda dan tidak semestinya klinik kesihatan yang berdekatan dengan alamat kad pengenalan.
“Jika berlaku kes-kes di mana anda tidak mendapat rawatan atas sebab alamat bukan berada di kawasan klinik kesihatan tersebut, anda boleh terus berhubung dengan saya atau mana-mana pegawai Jabatan Kesihatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang pesakit mendakwa terpaksa merayu untuk mendapatkan rawatan sebuah fasiliti kesihatan awam di Melaka.
Menerusi satu hantaran yang tular di Facebook, seorang individu mendakwa pesakit yang datang ke hospital itu diarah pergi ke klinik kesihatan di Peringgit kerana dikatakan hanya mengalami demam.
Setibanya di klinik kesihatan itu, pesakit berkenaan mendakwa sekali lagi diarah pergi ke sebuah klinik kesihatan di Ayer Keroh kerana alamat tempat tinggalnya di Bukit Katil.
Individu itu mendakwa pesakit berkenaan terpaksa merayu untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan sewajarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.