Sorting by

×

40 pacuan empat roda dari Melaka bantu mangsa banjir Negeri Sembilan, Pahang

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

ALOR GAJAH 24 Dis – Prihatin terhadap mangsa banjir di Negeri Sembilan dan Pahang, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian di sekitar Melaka menghantar bantuan kepada mangsa banjir dalam bencana itu.

Pengerusi Kelab Melaka Truckers, Yusry Ardy Jalil, 41, berkata dalam misi menyalurkan bantuan itu, 40 pacuan empat roda termasuk sebuah lori membawa misi menghantar bantuan ke kawasan terjejas di Jelebu dan Kenaboi, Negeri Sembilan serta Temerloh, Pahang.

Katanya, misi tersebut merupakan bantuan kali kelima yang disalurkan ke kawasan terjejas banjir selepas ke Lubok China, Hulu Langat dan Shah Alam minggu lalu.

“Ini adalah misi kelima kami menghantar bantuan banjir ke kawasan terjejas, dan hari ini kita bersama hampir 90 individu terlibat dalam misi ini akan ke Jelebu, Kenaboi dan sekitar Temerloh untuk menyalurkan bantuan.

“Bantuan yang kami bawa berupa barangan makanan asas, pakaian semua lapisan generasi dan gender, barangan bayi, tong air dan juga peralatan mencuci buat mereka yang berada di kawasan terkena musibah ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) sebelum bergerak ke lokasi.

ANTARA pek peralatan cucian yang diberikan kepada mangsa banjir di Selangor, minggu lalu.

Sementara itu, NGO Belia yang juga usahawan muda, Ashwad Abd Rahim, 30, berkata, dia berasa terpanggil untuk turut serta bersama rakan-rakannya dalam menghantar bantuan kepada mereka yang terjejas.

Ujarnya, mereka dalam perjalanan menghantar bantuan hasil inisiatif lebih 10 NG0 di seluruh Melaka.

“Kami wujudkan satu kumpulan di aplikasi Whatsapp dan mengabungkan semua NGO di Melaka dalam usaha membantu mangsa banjir di negeri jiran (Negeri Sembilan) dan Pahang.

“Seperti di Jelebu dan Kenaboi, wakil NGO di sana beritahu, mereka terputus bekalan air bersih (air minuman), dan wakil NGO di Temerloh pun beritahu banjir masih tidak surut sepenuhnya di sana, dan mereka perlukan alatan cucian untuk mengemas selain barangan makanan kering.

“Bila kita dah tau apa yang diperlukan, kita kumpul duit, beli barang dan Alhamdulillah, ramai rakyat Melaka turut menyumbang malahan ada juga yang menyatakan hasrat untuk turut serta,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1167
Kongsi :
Previous post Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bantu mangsa banjir di Selangor
Next post Lebih 20 dron diaktifkan ke kawasan terjejas banjir – MOSTI
Ubah saiz-+=