Padah tunggang motosikal lawan arus, lelaki maut dirempuh kereta
ALOR GAJAH 24 Dis – Seorang lelaki yang disyaki menunggang secara melawan arus maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 219.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu mengakibatkan mangsa T Ruthinthiran, 33, maut dilokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo dipercayai mabuk.
Beliau berkata, kejadian itu membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal milik mangsa.
“Sebelum kejadian, dua kereta itu dalam perjalanan dari arah Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Ayer Keroh manakala motosikal mangsa pula dari Simpang Ampat ke Seremban.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu wanita berusia 38 tahun berada di lorong kanan bertembung dengan motosikal mangsa menyebabkan dia tercampak ke pembahagi jalan,” katanya.
Menurutnya, akibat daripada itu kereta wanita terbabit hilang kawalan dan terbabas ke lorong kiri menyebabkan Perodua Myvi yang kebetulan melalui lokasi kejadian tidak sempat mengelak.
“Akibat kemalangan itu penunggang motosikal maut dilokasi kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu wanita mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan dijalankan juga terdapat saksi mata yang melihat kejadian dan sudah dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.
Arshad berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.